expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

hai yaww. nice to meet you ;)


Saturday, 27 June 2015

Pengajian Am : Kewarganegaraan

KEWARGANEGARAAN

Seseorang layak menjadi warganegara Malaysia melalui empat cara;
a. Kuat Kuasa Undang-Undang
b. Pendaftaran
c. Kemasukan (naturalisasi/ pewarganegaraan)
d. Percantuman wilayah

KUAT KUASA UNDANG-UNDANG

Perkara 14(1)(a)
Setiap orang yang dilahirkan sebelum Hari Malaysia (16 September 1963) dan merupakan warganegara Persekutuan menurut peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Bahagian 1 Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan seperti berikut;

a. Dia menjadi warganegara Persekutuan sebelum Hari Merdeka.
b. Dia dilahirkan di Persekutuan pada atau selepas Hari Merdekadan sebelum bulan
Oktober 1962

c. Dia dilahirkan di Persekutuan selepas bulan September 1962 dan pada masa kelahiran itu sekurang-kurangnya ibu atau bapanya seorang warganegara ataubermustautin tetap di Persekutuan atau dia tidak menjadi warganegara 
mana-mana negara lain pada masa lahirnya.
d. Dia dilahirkan di luar Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka dan pada masa kelahirannya, bapanya seorang warganegara dan juga telah dilahirkan di Persekutuan atau pada kelahirannya itu berada dalam perkhidmatan Kerajaan Persekutuan atau kerajaan bagi sesebuah negeri.

e. Dia dilahirkan di luar Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka dan pada kelahiran itu, bapanya seorang warganegara, dan dalam tempoh yang ditetapkan , mendaftar kelahiran itu di pejabat konsul Persekutuan, atau kelahiran itu didaftarkan dengan Kerajaan Persekutuan jika kelahiran itu berlaku di Singapura, Sarawak, Brunei atau Borneo Utara.

Perkara 14(1)(b)
Seseorang yang dilahirkan pada atau selepas Hari Malaysia dan mempunyai mana-mana daripada kelayakan yang ditentukan dalam Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan seperti yang berikut;

a. Dia dilahirkan di Persekutuan dan pada masa kelahiran itu sekurang-kurangnya bu atau bapanya seorang warganegara atau bermustautin tetap di Persekutuan.

b. Dia dilahirkan di luar persekutuan dan pada masa kelahiran itu bapanya seorang warganegara dan dilahirkan di Persekutuan, atau pada masa kelahiran itu bapanya berkhidmat dengan kerajaan Persekutuan atau kerajaan sesebuah negeri.

c. Dia dilahirkan di singapura dan pada masa kelahiran itu sekurang-kurang ibu atau bapanya seorang warganegara.

d. Dia dilahirkan di Persekutuan dan pada masa kelahirannya dia tidak menjadi warganegara mana-mana negara.

SEKATAN TERHADAP KEBEBASAN ASASI WARGANEGARA

1. Undang-undang Subversif

Kerajaan berkuasa untuk manahan dan menghukum mereka yang mengancam keselamatan negara.

2. Undang-undang Darurat

Kerajaan berkuasa untuk menggenakan perintah berkurung dan pasukan keselamatan berkuasa untuk menembak serta membunuh sesiapa sahaja yang mengingkari undang-undang darurat tanpa perbicaraan.

3. Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) 1960

Seseorang boleh ditahan tidak melebihi dua tahun tanpa perbicaraan jika pada pandangan kerajaan, orang itu mengancam keselamatan negara.

4. Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971

Para pelajar dilarang daripada bergerak aktif dalam politik

5. Akta Rahsia Rasmi 1972

Melindungi dokumen dan maklumat negara yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi; semua orang, termasuk rakyat dan bukan rakyat yang membocorkan rahsia tersebut telah melakukan kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah.

6. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984

Badan-badan penerbitan dan media elektronik tiada kebebasan untuk mengungkitkan isu-isu sensitif yang boleh mengancam keselamatan negara.

7. Akta Hasutan 1948

Rakyat dilarang daripada menabur fitnah dan mengungkitkan isu-isu sensitif, iaitu hak-hak istimewa orang Melayu, bahasa, kuasa raja, dan kewarganegaraan.

8. Hak Keistimewaan Sabah dan Sarawak

Kerajaan Negeri berkuasa untuk mengawal kemasukan rakyat dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak.

KEBEBASAN ASASI WARGANEGARA MALAYSIA

KEBEBASAN DIRI

Tiada warganegara pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang.

Seseorang warganegara tidak boleh ditahan oleh pihak polis lebih 24 jam kecuali setelah dibawa ke hadapan seorang majistret untuk mendapat perintah tahanan.

Seseorang warganegara yang ditangkap oleh pihak polis hendaklah diberitahu tentang sebab-sebab dia ditangkap dengan seberapa segera yang boleh bagi membolehkannya berunding dengan peguan yang dipilihnya dan dibela oleh peguam tersebut.

Jika seseorang warga negara itu ditangkap dengan tidak mengikut undang-undang, dia boleh memohon habeas corpus daripada mahkamah untuk membebaskan dirinya.

PENGABDIAN DAN KERJA PAKSA

tiada warganegara pun yang boleh ditahan sebagai abdi.

Segala jenis kerja paksa dilarang tetapi Parlimen boleh dengan kuasa undang-undang membuat peruntukan bagi tujuan perkhidmatan kerahan tenaga bagi maksud negara.

PERLINDUNGAN DARIPADA UNDANG-UNDANG JENAYAH YANG BERKUATKUASA KEBELAKANGAN DAN PERBICARAAN BERULANG

Tiada warganegara yang boleh dihukum kerana mereka ketinggalan di mana sebelum itu kesalahan itu tidak menajdi kesalahan di sisi undang-undang pada masa perbuatan atau ketinggalan itu dilakukan.

Seseorang warganegara yang telah dibebaskan daripada atu-satu kesalahan atau disabitkan dengan sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama. Kecuali sekiranya perintah pembebasan tersebut dibatalkan oleh mahkamah yang lebih tinggi dariapda ia dibebaskan.

SAMA RATA

Semua warganegara adalah sama rata di sisi undang-undang dan mereka berhak untuk mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Seseorang warganegara tidak boleh didiskriminasikan daripada aspek agama, kaum, keturunan, atau tempat lahir.

LARANGAN BUANG NEGERI DAN KEBEBASAN BERGERAK

Tiada warganegara yang boleh dibuang negeri atau ditahan daripada memasuki persekutuan.

Setiap warganegara berhak untuk bergerak dengan bebasnya di seluruh Persekutuan dan bermustautin di mana-mana bahagiannya.

KEBEBASAN BERCAKAP, BERHIMPUN DAN MENUBUHKAN PERSATUAN.

Setiap warganegara bebas bercakap dan mengeluarkan fikirannya.

Setiap warganegara berhak untuk berhimpun dengan aman.

Setiap warganegara berhak untuk menubuhkan persatuan.

KEBEBASAN BERAGAMA

Setiap warganegara berhak untuk menganut dan mengamalkan agamanya.

HAK-HAK BERKENAAN DENGAN PENDIDIKAN

Tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara berdasarkan agama, kaum, keturunan atau tempat lahir.

Tiap-tiap kumpulan agama berhak untuk menubuhkan dan menyelenggarakan institusi untuk pendidikan kanak-kanak dalam kumpulan itu sendiri.

HAK TERHADAP HARTA

Tiada warganegara pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

Tiada undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta dengan paksa tanpa pampasan yang mencukupi.

CIRI-CIRI KERAJAAN MALAYSIA SEPERTI DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Malaysia mengamalkan sistem Kerajaan Persekutuan (Terdiri daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri)
Mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen
Parlimen bercorak Westminster
Di parlimen terdapat dwidewan
a. Dewan Rakyat
b. Dewan Negara
Malaysia mengutamakan ketertinggian perlembagaan.

SUNDAY, JUNE 21, 2009

KANDUNGAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Perlembagaan Persekutuan terdiri daripada 15 bahagian yang mengandungi 183 Perkara seperti dalam jadual berikut;
BAHAGIAN
BUTIR-BUTIR
PERKARA
1
Negeri-negeri, Agama, dan Undang-undang Persekutuan
1-4
2
Kebebasan Asasi
5-13
3
Kewarganegaraan
14-31
4
Persekutuan
32-69
5
Negeri-negeri
70-72
6
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
73-95E
7
Peruntukan-peruntukan Kewangan96-112E
8
Pilihan Raya
121-131A
9
Kehakiman
121-131A
10Perkhidmatan Awam142-148
11Kuasa-kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif dan Kuasa-Kuasa Darurat149-151
12Am dan Pelbagai152-160
12APerlindungan Tambahan bagi Negeri-negeri Sabah dan Sarawak161-161H
13Peruntukan Sementara dan Peralihan162-180
14Perkecualian bagi kedaulatan Raja-raja dan Sebagainya181
15Prosiding terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja182-183

KONSEP KETERTINGGIAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi Malaysia
Badan Perundangan, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman mendapat kuasa masaing-masing daripada Perlembagaan Persekutuan.
YDPA pun sebagai ketua negara juga menjalankan kuasanya mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Sebarang undang-undang yang berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan hendaklah terbatal setakat mana undang-undang itu berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan.

PERLEMBAGAAN PERSEKSEKUTUAN

Perlembagaan Persekutuan merupakan perlembagaan bertulis Malaysia.
Dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957
Digubal oleh Suruhanjaya Reid yang dianggotai oleh;
1. Lord Reid (Ketua)
2. Sir Ivor Jenning (Britain)
3. Sr William Mckel (Australia)
4. B.Malik (India)
5. Hakim A.Hamid (Pakistan)
Perlembagaan Malaysia digubal berdasarkan 131 memorandum yang diserahkan oleh parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan di Tanah Melayu
Merupakan sumber segala perundangan lain yang wujud dalam negara.
Merupakan undang-undang tertinggi untuk mewujudkan sistem kerajaan yang teratur.
Perlembagaan tersebut dikanunkan tetapi boleh dipinda
Perlembagaan Persekutuan memperakukan semua undang-undang yang digubal di Persekutuan sebelum Hari Merdeka dan juga semua undang-undang yang wujud di Sabah dan sarawak sebelum Hari Malaysia.

Monday, 22 June 2015

DR. MAHATHIR - PENYELAMAT NEGARA
Oleh Nor Mohamed Yakcop 
Dipetik Daripada Portal Rasmi Kementerian Kewangan Malaysia

Dalam artikel ini, saya ingin menghuraikan serba sedikit tentang satu keputusan yang begitu bermakna, berani dan bijaksana yang telah diambil oleh Dr. Mahathir Mohamad pada 1 September 1998. Pada tarikh tersebut, Dr. Mahathir Mohamad, sebagai pemimpin Malaysia, dengan penuh keyakinan, telah mengambil keputusan untuk melaksanakan rejim kawalan pertukaran asing terpilih (selective exchange control regime). Peluang yang terbuka ekoran langkah-langkah 1 September 1998 bukan sahaja memberi kekuatan kepada Malaysia untuk terus mengharungi krisis ekonomi yang melanda negara, malah Malaysia muncul sebagai negara yang semakin kuat dan mantap. Adalah tidak sukar untuk meramalkan apa agaknya yang akan terjadi kepada negara tercinta sekiranya langkah-langkah tersebut tidak dilaksanakan.

Pada masa itu, saya berjumpa dengan Dr. Mahathir Mohamad hampir setiap hari dan setiap kali pertemuan saya dengan beliau, raut wajah dan perwatakkan beliau menampakkan keresahan kerana memikirkan situasi ekonomi yang tidak menentu. Ini adalah disebabkan beliau berasa hairan kerana pada waktu itu asas-asas ekonomi negara begitu kukuh sekali. Beliau sedar bahawa krisis luar biasa itu adalah berpunca daripada konspirasi penyangak-penyangak matawang, dengan sokongan bank-bank antarabangsa, yang telah lama membuat perancangan yang begitu rapi untuk meruntuhkan ekonomi Malaysia. Kesedaran itulah yang mendorong Dr Mahathir Mohamad mengerah segala usaha dan keringatnya untuk mencari jalan terbaik bagi menghentikan kegiatan manipulasi dan serangan spekulasi matawang asing yang begitu kompleks serta mencabar. Beliau juga sedar bahawa tindak balas yang tidak tepat akan hanya menjerumuskan Malaysia kedalam kitaran ganas kemiskinan. Bak kata pepatah, tersilap langkah, antan patah lesung hilang. Dalam keadaan yang begitu genting, saya sering melihat Dr. Mahathir Mohamad, walaupun dalam keadaan kesihatan yang kurang sihat, seperti demam dan batuk-batuk, begitu tabah dan terus berusaha siang dan malam, tanpa mengenal erti jemu, untuk mencari formula demi menyelamatkan ekonomi negara.

Selepas pelan tindakan dilaksanakan pada 1 September 1998, Dr Mahathir Mohamad tidak berehat. Sebaliknya, beliau terus mempengerusikan mesyuarat Exco Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) setiap hari bagi membincangkan, menghalusi dan memantau keadaan ekonomi serta menyusun langkah-langkah ke arah mengukuhkan ekonomi. Petunjuk dan data-data ekonomi penting seperti pelaburan, perbelanjaan, eksport dan import serta banyak lagi data-data dianalisis pada setiap hari. Tidak ada pemimpin di negara membangun mahupun sedang membangun yang pernah melakukan tindakan seperti iniIni membuktikan kelebihan Dr. Mahathir. Hakikatnya, Dr. Mahathir menyelamatkan Malaysia, bukan sahaja melalui keberanian beliau melaksanakan pelan tindakan unorthodox pada 1 September 1998, tetapi juga melalui kerajinan dan kecekapan beliau dalam memantau situasi ekonomi setiap hari, supaya tindakan segera dapat diambil untuk menangkis sebarang ancaman dan memperbaiki keadaan, jika perlu.

Sekiranya Malaysia tidak melaksanakan langkah-langkah unorthodox pada bulan September 1998, sebahagian besar syarikat perniagaan akan menjadi muflis. Kadar faedah yang tinggi akan meningkatkan tanggungan hutang mereka. Apabila mereka jatuh seperti domino, bank-bank dan institusi kewangan akan runtuh kerana hutang tidak berbayar (NPL) yang terlalu besar. Apabila bank-bank runtuh, kekangan kredit akan menjadi lebih parah, menyebabkan syarikat-syarikat yang sedia maju tidak mendapat pinjaman. Perniagaan mereka akan menguncup dan akhirnya mereka juga akan terjejas teruk. Seterunya Kerajaan pula tidak akan dapat memungut hasil yang mencukupi untuk membiayai perbelanjaan.

Akibat kegagalan bank dan korporat, kadar pengangguran akan meningkat dengan ketara dan seterusnya satu lagi kitaran kegagalan syarikat dan bank akan menyebabkan satu lagi pusingan pengangguran. Inilah apa yang dikatakan kitaran ganas. Apabila jumlah pengangguran meningkat, jalinan sosial di Malaysia akan terungkai dan seterusnya menyebabkan kegawatan sosial dan politik. Ini akan menyebabkan dana dari luar tidak masuk ke Malaysia, kerana pelabur asing tidak akan masuk ke dalam negara yang tidak menentu kestabilan sistem politiknya. Dalam tahun 1997 dan 1998, senario ini adalah satu bencana yang menunggu masa untuk berlaku. Namun, ia tidak berlaku kerana kebijaksanaan Dr. Mahathir melaksanakan pelan tindakan unorthodox pada 1 September 1998.

Negara-negara jiran kita juga kembali pulih kerana Malaysia melaksanakan kawalan pertukaran asing terpilih. Beberapa bulan sebelum 1 September 1998, pengurus hedge funds telah merancang untuk melemahkan kadar ringgit kepada RM5 bagi setiap AS$1, dan mengambil tindakan yang sama terhadap mata wang Thailand, Indonesia dan Korea Selatan.

Mereka telahpun mula melaksanakan rancangan ini sedikit demi sedikit. Apabila Malaysia secara mengejut melaksanakan pelan tindakannya pada 1 September 1998, mereka panik dan bukan sahaja membeli semula ringgit, tetapi juga mata wang negara-negara rantau ini. Paling penting, mereka terpaksa membatalkan rancangan serangan tersebut dan tidak berani membuat serangan sedemikian sehingga sekarang. Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa langkah Dr. Mahathir melaksanakan pelan tindakan unorthodox pada bulan September 1998 bukan sahaja telah menyelamatkan Malaysia tetapi juga negara-negara di rantau ini.

Satu lagi kesan positif kepada Korea Selatan, Thailand dan Indonesia berikutan langkah-langkah kawalan pertukaran asing yang dilaksanakan Malaysia ialah sikap IMF dan negara-negara Barat. Atas sebab-sebab yang telah kita ketahui, IMF dan lain-lain negara Barat tidak mahu kawalan mata wang asing Malaysia berjaya kerana kejayaan langkah berkenaan akan menjejaskan kredibiliti dasar globalisasi dan pasaran bebas yang mereka perjuangkan. Oleh itu, bagi IMF adalah penting untuk memastikan Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, yang tidak melaksanakan kawalan pertukaran asing dan sebaliknya menerima bantuan IMF, menghasilkan kejayaan yang jauh lebih baik daripada Malaysia. Ini dilakukan, bukan kerana IMF benar-benar mahu negara-negara tersebut berjaya, tetapi hanya untuk menunjukkan bahawa cara yang dipilih oleh Malaysia adalah salah. Bagi Malaysia, lebih banyak bantuan yang diberikan oleh IMF kepada negara-negara ini adalah lebih baik. Ini bukan sahaja dari segi kemanusiaannya, iaitu ingin melihat jiran kita makmur, tetapi juga dari segi kepentingan Malaysia sendiri, kerana kemakmuran jiran-jiran kita akan meningkatkan perdagangan serantau dan kestabilan politik serantau yang akan menguntungkan Malaysia.

Kemenangan Malaysia
It was the worst of times. It was the best of times. Ungkapan ini mungkin diucapkan oleh penyair untuk menggambarkan tempoh dua tahun yang diharungi negara mulai Julai 1997, apabila krisis kewangan di Asia mula menunjukkan belangnya. Ia adalah satu tempoh yang paling perit berikutan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia semasa melalui tempoh ini.

Ia juga adalah satu tempoh yang paling menarik kerana ia menampakkan beberapa kualiti terbaik Dr. Mahathir Mohamad khasnya dan rakyat Malaysia amnya untuk membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia adalah satu jalinan masyarakat yang kukuh yang mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk menerima gegaran serta kejutan, bahkan tabah menghadapinya.

Dr. Mahathir Mohamad telah beberapa kali menegaskan bahawa satu pengajaran dari krisis 1997 - 1998 ialah kita perlu mempersiapkan dan memperlengkapkan diri supaya kita mempunyai daya ketahanan yang cukup kuat untuk menangkis dan menangani krisis-krisis kewangan dan serangan ekonomi yang berlaku pada masa hadapan. Kita perlu sedar bahawa kebanyakan krisis kewangan dan krisis ekonomi adalah di luar kawalan kita. Ia muncul dengan tiba-tiba dalam bentuk dan pola yang sukar diramalkan. Apa yang mustahak, mengikut pendapat Dr. Mahathir, ialah jika berlaku krisis, kita mesti mempunyai keyakinan yang kuat untuk melakukan sesuatu yang dianggap mustahil, dengan syarat ia dilakukan untuk kepentingan rakyat keseluruhannya. Kita akan berjaya sekiranya kita bijaksana, berakhlak dan berani sepertimana yang ditegaskan oleh filasuf Kung Fu Tze: Yang bijaksana tidak keliru, yang berakhlak tidak gundah gulana, yang berani tidak gentar.

Kita tidak harus mengharapkan apa-apa pujian daripada negara-negara barat atau media-media mereka kerana kita melakukannya bukan untuk mendapat pujian atau untuk memuaskan hati mereka. Kita melakukannya kerana kita tahu bahawa apa yang kita lakukan adalah langkah yang tepat demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat keseluruhannya.

Dalam melaksanakan pelan unorthodox pada bulan September 1998, Dr Mahathir telah membuktikan bahawa sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh secara teratur, berpasukan, berstrategi dan terancang, adalah tidak mustahil untuk menentang lawan kita yang jauh lebih gagah dan perkasa daripada kita dengan cara kita sendiri.

Satu lagi pengajaran, khasnya daripada krisis kewangan 1997 - 1998, yang selalu ditekankan oleh Dr. Mahathir Mohamad, ialah proses globalisasi tidak semestinya membawa kemakmuran kepada kesemua negara di dunia ini. Di peringkat awal, pelonggaran halangan perdagangan, dasar perniagaan mata wang yang bersifat antarabangsa dan aliran modal jangka pendek yang tidak terbatas dianggap satu perkara yang membawa manfaat kepada negara maju dan negara membangun. Namun apa yang dianggap baik kepada negara maju tidak semestinya baik untuk negara membangun. Krisis kewangan, yang hanya membabitkan negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, membuktikan tesis ini dengan jelas. Ini bermakna proses globalisasi yang dicanangkan oleh Barat perlu diselidiki serta dikaji secara halus dan bijaksana sebelum kita menerimanya bulat-bulat.

Sungguhpun kita telah berjaya memulihkan ekonomi negara, Dr. Mahathir Mohamad telah menyedarkan kita bahawa kita tidak boleh berlapang dada dan merasa lega. Perjalanan kita masih jauh. Tugas kita masih banyak lagi. Kita perlu memakmurkan kembali Malaysia agar ia dapat mencapai taraf negara maju, membasmi kemiskinan hingga ke akar umbi, dan menjana satu budaya bangsa yang murni, sanggup bekerja keras dan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hidup untuk semua lapisan rakyat Malaysia.

Kejayaan kita dalam pertembungan antara globalisasi dan kawalan modal adalah satu pencapaian yang boleh kita banggakan, kerana kita, melalui kepimpinan dan kebijaksanaan Dr. Mahathir Mohamad, dapat mengelak daripada menjadi negara penerima Dana IMF. Tetapi kita harus bersedia setiap masa dan sentiasa beringat setiap waktu supaya krisis yang sama, sekiranya datang kembali, boleh ditangani dengan pendekatan dan langkah-langkah yang matang, kreatif dan bijaksana.


Kesimpulan
Dalam kehidupan setiap pemimpin, ada beberapa ketika yang merupakan saat-saat penuh genting, bererti dan bermisteri. Saat-saat di mana seseorang pemimpin membuat keputusan penting yang akan mencorakkan kehidupan bangsanya di kemudian hari. Dr Mahathir Mohamad sudah tentunya telah melalui banyak saat-saat seperti ini dalam masa 22 tahun beliau memimpin negara tercinta. Antara saat-saat seperti ini, 1 September 1998 merupakan saat yang penuh rahmat untuk bangsa Malaysia. Pada tarikh tersebut Dr Mahathir Mohamad, sebagai pemimpin Malaysia, telah mengambil keputusan berani untuk melaksanakan pelan tindakan unorthodox dan sekaligus menyelamatkan Malaysia.

Tenaga Nuklear Sebagai Penjana Tenaga Elektrik Negara

Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan bahawa Malaysia akan menggunakan tenaga nuklear sebagai penjana tenaga elektrik negara. Dengan itu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah diminta mengenal pasti lokasi pembinaan loji nuklear negara pertama. Loji ini dijangka mula beroperasi pada tahun 2021. Tenaga nuklear dipilih kerana ia dianggap "effisien dan efektif" apatah lagi dalam keadaan dunia masa kini yang menunjukkan bahawa penggunaan petroleum dan arang batu untuk menjana elektrik negara sebagai tidak lagi sesuai kerana kenaikan harga kedua-dua sumber tersebut dan juga tekanan terhadap alam sekitar akibat penggunaan bahan api fosil tersebut.

Malah, di peringkat serantau juga, penggunaan tenaga nuklear semakin menjadi pilihan. Misalnya, negara Thailand, Vietnam dan Indonesia juga sudah mulai menuju ke arah penghasilan tenaga elektrik berasaskan tenaga nuklear. Thailand dijangkakan mula menggunakan tenaga nuklear menjelang tahun 2012, Vietnam pada tahun 2018 dan Indonesia pada tahun 2016. Berdasarkan perkembangan ini maka jelas bahawa penggunaan tenaga nuklear dalam penghasilan tenaga elektrik semakin mendapat perhatian.
Selanjutnya, bagi menjayakan rancangan penggunaan tenaga nuklear ini, Perdana Menteri Malaysia telah menjemput masyarakat awam untuk sama-sama menyumbangkan pandangan terhadap rancangan ini. Oleh itu sewajarnyalah masyarakat awam menyuarakan pandangan mereka terhadap rancangan penggunaan tenaga nuklear ini. Namun, sebelum memberikan pandangan, seeloknyalah mereka melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang baik-buruk penggunaan tenaga nuklear.
Dari segi kebaikan, terdapat beberapa kelebihan penggunaan tenaga nuklear untuk menghasilkan elektrik. Antaranya, tenaga nuklear dikatakan dapat menjana tenaga dalam jumlah yang banyak dan pada satu jangka masa yang panjang berbanding penjanaan tenaga elektrik menggunakan bahan api fosil seperti petroleum dan arang batu. Ini kerana penggunaan bahan uranium (bahan utama logi tenaga nuklear) akan menghasilkan lebih banyak tenaga untuk jangkasama yang panjang. Dikatakan, satu tan uranium boleh menghasilkan lebih banyak tenaga berbanding penggunaan beberapa million tan arang batu atau beberapa million barrel minyak. Keadaan ini pastinya merupakan satu berita baik kerana bahan api fosil semakin berkurangan.
Tenaga nuklear juga dikatakan sangat mesra alam. Penghasilan tenaga elektrik dengan menggunakan tenaga nuklear tidak akan mencemarkan udara. Ini kerana logi tenaga nuklear tidak akan membebaskan gas-gas rumah hijau seperti karbon, methane, ozon dan CFC semasa beroperasi dan dengan itu tidak mencemarkan udara. Dalam hal ini, ia akan membantu mengurangkan kesan rumah hijau. Selain itu, pembinaan logi nuklear juga tidak memerlukan kawasan yang besar dan dalam jangka masa panjang, tenaga nuklear akan menghasilkan tenaga elektrik yang lebih murah kerana kos operasinya yang rendah. Ini pastinya satu berita baik kepada pengguna.
Di sebalik kelebihan tenaga nuklear ini, terdapat juga beberapa keburukan penggunaan tenaga nuklear. Antara keburukan tersebut ialah, tenaga nuklear boleh memberi kesan tidak baik kepada kesihatan manusia. Ini kerana, tenaga nuklear menghasilkan radiasi. Radiasi ini sangat berbahaya kepada tubuh badan manusia kerana radiasi itu boleh merosakkan sel badan. Selain itu, bahan radioaktif yang terhasil daripada aktiviti penjanaan tenaga elektrik menggunakan tenaga nuklear juga amat berbahaya dan kos menguruskannya juga amat tinggi. Bahan radioaktif ini, jika dilepaskan ke alam sekitar, akan bertahan untuk satu jangka masa yang lama sebelum ia mencecah tahap selamat kepada manusia. Tenaga nuklear bergantung kepada bahan uranium. Uranium dikategorikan sebagai bahan api tidak boleh diganti (non renewable energy) sama seperti petroleum dan arang batu. Walaupun buat masa ini, sumber uranium masih banyak tetapi ia juga akan berkurangan jika terus digunakan. Oleh itu, ia juga akan habis pada satu masa nanti.
Kekurangan lain yang juga sering dikaitkan dengan penggunaan tenaga nuklear ialah risiko kemalangan di loji tenaga nuklear. Jika kemalangan ini berlaku, masalahnya sangat besar dan kesannya akan mengambil masa yang panjang untuk hilang. Sebagai contoh, kemalangan reaktor nuklear di Chernobyl pada April 1986. Dikatakan bahawa, tragedi letupan reaktor nuklear ini merupakan yang terburuk dalam sejarah dunia. Letupan ini telah membebaskan 300 kali lebih bahan radioaktif berbanding peristiwa pengeboman Bandar Hiroshima.
Radioaktif itu tersebar luas hingga ke bahagian Barat Kesatuan Soviet, Timur dan Barat Eropah, daerah-daerah Scandinavia, British Isles dan Timur Amerika Utara. Di samping itu, kontaminasi teruk berlaku di kawasan-kawasan Ukraine, Belarus, dan Rusia hingga memaksa lebih daripada 336,000 orang penduduk dipindahkan dari rumah-rumah mereka. Satu laporan yang disediakan oleh International Atomic Energy Agency (IAEA) and World Health Organization (WHO), menunjukkan bahawa berlaku 56 kematian serta-merta. Manakala, dianggarkan dalam 6.6 juta orang yang telah terdedah kepada radiasi letupan itu, 9000 daripadanya dijangkakan akan mati akibat pelbagai jenis penyakit kanser.
Akhir sekali, isu keselamatan. Logi nuklear berpotensi untuk disalahgunakan bagi tujuan keganasan. Sama ada keganasan berbentuk manipulasi bahan itu untuk tujuan tidak baik ataupun kemungkinan logi diserang atau diambil alih oleh pengganas. Dalam keadaan ini, kawalan keselamatan yang sangat ketat amat diperlukan.
Berdasarkan penjelasan ini, nyata bahawa terdapat banyak cabaran yang perlu diambil kira jika tenaga nuklear ingin digunakan. Walaupun penggunaan tenaga nuklear punya beberapa faedah, namun timbangan baik-buruknya harus dilakukan sebaik, seadil dan secara sangat terperinci agar implementasi rancangan ini tidak membawa mudarat sama ada kepada manusia mahupun alam secara keseluruhan.
Dalam pandangan hidup Islam, terdapat satu prinsip penting yang menyatakan bahawa "ditegah untuk membuat sesuatu usaha melainkan setelah mengenal syarat-syaratnya". Bagi menjelaskan lagi perkara ini Dr. Mohd Sani Badron dalam kertas kerja beliau yang bertajuk "Kewajipan Menguasai Sains: Fardu ‘Ayn-kah atau Fardu Kifayah?" menyebut bahawa "[satu] contoh yang pernah dikemukakan oleh al-Khawarizmi dalam Mubid al-Humum wa Mufid al-‘Ulum, ialah dicegah menjalankan perniagaan melainkan sesudah mempelajari kaifiat dan syarat-syarat mu'amalat bagi seseorang peniaga". Tambah beliau lagi "[hal] ini dilaksanakan Saidina Umar dalam sistem pendidikannya sehingga tiadalah berniaga di pasar kaum Muslim melainkan mereka yang memahami perniagaan berlandaskan Islam hingga tidak lagi keliru mengenai sebarang perkara yang boleh menerbitkan penindasan terhadap golongan pembeli seperti riba."
Dengan itu, secara mudahnya, dapat kita sebutkan bahawa, berdasarkan prinsip yang disebutkan di atas, setiap daripada kita adalah dilarang melakukan sesuatu melainkan kita telah benar-benar memiliki ilmu berkaitan dengan perkara yang ingin dilakukan itu. Sebagai contoh, jika kita ingin menjadi tukang jahit, maka sebelum menjadi tukang jahit, segala ilmu berkaitan dengannya wajiblah diperoleh terlebih dahulu sebelum memulakan kerjaya ini. Ketetapan ini sememangnya amatlah wajar bagi mengelakkan si tukang jahit merosakkan tempahan baju yang dihantar pelanggan. Samalah halnya dalam isu tenaga nuklear ini. Sebelum implementasi program ini hendak dilaksanakan maka segala bentuk maklumat tentang baik-buruknya untuk negara dan masyarakat Malaysia wajiblah dikaji sedalam-dalamnya.
Selain daripada prinsip yang disebutkan ini, di dalam al-Quran kita telah diingatkan bahawa, "...janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan, dan baikilah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya"(Surah al-Baqarah, 2:195). Dengan paparan ayat ini maka dapat kita simpulkan, dalam kes si tukang jahit sebentar tadi, bahawa jika tidak tahu ilmu jahitan, maka janganlah berani menceburkan diri dalam bidang itu. Ini kerana, kedegilan untuk menceburi bidang itu akan menyebabkan si tukang jahit ditimpa malang kerana mungkin dimarahi pelanggan kerana gagal menyiapkan tempahan atau merosakkan tempahan yang dihantar. Bukankah ini hanya membinasakan diri si tukang jahit tersebut? Dalam isu tenaga nuklear ini pula, jika kemudaratan program ini jelas maka seeloknyalah ia ditangguh atau dicari alternatif yang lain.
Berkaitan dengan alternatif, sememangnya terdapat alternatif atau pilihan lain dalam menghasilkan tenaga elektrik. Sebagai contoh, tenaga yang dinamakan sebagai tenaga gantian. Amnya, tenaga gantian ini membawa maksud sumber tenaga yang tidak berasaskan pembakaran bahan fosil atau pemecahan atom. Sekurang-kurangnya terdapat lima bentuk tenaga gantian dalam dunia. Tenaga tersebut adalah tenaga suria, angin, geotermal, ombak dan hidroelektrik. Tenaga gantian ini juga dikenali sebagai tenaga hijau iaitu melibatkan manipulasi alam untuk menjana tenaga elektrik.
Bagi menggantikan tenaga nuklear, sebaik mungkin dijalankan kajian untuk melihat kebolehgunaan tenaga gantian ini sebagai tenaga penjana elektrik negara. Jika ini berjaya dilakukan maka barulah boleh diakui "Malaysia sebagai pelopor revolusi bumi hijau." Jika usaha, tenaga dan wang ringgit boleh digunakan untuk mengkaji kebolehgunaan tenaga nuklear maka usaha, tenaga dan wang ringgit yang sama juga seharusnya ditumpahkan untuk menghasilkan tenaga hijau. Ini kerana, sebagaimana petroleum dan arang batu boleh mencapai tahap sukar didapati (scarce) maka begitu jugalah uranium pada satu masa nanti. Oleh itu, hendak atau tidak, akan tiba masanya manusia terpaksa bergantung kepata tenaga gantian. Jadi, kenapa tunggu nanti? Usaha ke arah itu seharusnya dilaksanakan sekarang!
Dipetik Daripada Laman Web Rasmi Institut Kefahaman Islam Malaysia

Apa itu Gagasan 1Malaysia ?

Gagasan 1Malaysia diperkenalkan pada 3hb April 2009 oleh Perdana Menteri Malaysia ke-enam, Dato’ Seri Najib Tun Abd.Razak. 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula untuk memastikan aspirasi negara iaitu “Wawasan 2020” dapat dicapai. Gagasan 1Malaysia berpaksikan prinsip “Rakyat Didahulukan , Pencapaian Diutamakan” bertujuan melahirkan bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran globalisasi yang melanda dunia ini.

Objektif Utama Gagasan 1Malaysia

1Malaysia adalah satu gagasan bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiapa rakyat Malaysia.

1Malaysia adalah penerusan agenda pembinaan negara menerusi perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Dua Aspek Utama Dalam 1Malaysia

Gagasan 1Malaysia akan terlaksana dalam dua aspek utama seperti yang berikut ;

ASPEK PERTAMA : PENERAPAN TERAS TERAS PERPADUAN

Teras perpaduan akan menguatkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Teras perpaduan ini didukung oleh nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia.

ASPEK KEDUA : PENERAPAN NILAI-NILAI ASPIRASI

Teras Nilai-nilai Aspirasi akan membantu dalam mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global dan seterusnya membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan matang.
TIGA PRINSIP – TERAS PERPADUAN

1Malaysia disandarkan kepada tiga prinsip TERAS PERPADUAN dalam memperkukuhkan perpaduan nasional seperti yang berikut ;

1.       PENERIMAAN
Menerima hakikat bahwa rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kepelbagaian dari segi cara hidup, amalan dan kebudayaan. Rakyat harus menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia.

2.       KENEGARAAN
Konsep perpaduan semangat nasionalisme dan cinta akan negara menjadi asas pembentukkan 1Malaysia.

3.       KEADILAN SOSIAL
Memberikan kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting secara adil tanpa mengira latar belakang atau agama. Setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan perkhidmatan kepada kaum-kaum lain.

LAPAN – NILAI ASPIRASI

1.       BUDAYA BERPRESTASI TINGGI
Setiap perkara dan tugas dilakukan secara cemerlang.

2.       BUDAYA KETEPATAN
Mencapai status negara maju dengan menepati waktu dan mengutamakan kecekapan dalam melaksanakan semua tugas dan kewajipan.

3.       BUDAYA ILMU
Rakyat memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi dan terkini serta kesediaan untuk menimba ilmu secara berterusan.
  
4.       INTEGRITI
Rakyat memiliki integrity yang tinggi yang mencakupi nilai-nilai murni seperti amanah, bersih dan cekap dalam melaksanakan tugas dan tanggung-jawab.

5.       KETABAHAN
Rakyat memiliki sifat berdedikasi , penuh iltizam, azam dan tekad serta tidak mudah mengaku kalah dalam mengharungi masaalah dan cabaran.

6.       KESETIAAN
Rakyat harus memiliki kesetiaan yang sepenuhnya terhadap negara dan sedia berbakti dan berkorban demi negara.

7.       KEBIJAKSANAAN
Rakyat harus menghadapi sebarang masaalah secara penuh berhemah dan teliti bagi mengelakkan sebarang konflik antara kaum.

8.       BUDAYA INOVASI
Rakyat haruslah berinovasi, iaitu memiliki sifat-sifat seperti berani berubah untuk kebaikan, berani mencari penyelesaian baru dalam menangani masaalah dan sentiasa perintis dalam apa jua l

Sunday, 21 June 2015

Zon Aman Bebas Dan Berkecuali & Antartika

Konsep Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN)

Sebagai blok yang boleh disifatkan bukan komunis di Asia Tenggara, ASEAN sebenarnya lebih berpegang kapada dasar berkecuali. Malaysia telah menyarankan supaya diwujudkan kawasan awam, bebas dan berkacuali (Zone of Peace, Freedom and Neutrality atau ZOPFAN) telah diterima sebagai pendirian ASEAN. Konsep dan dasar ini telah diumumkan melalui Deklarasi Kuala Lumpur pada 27 November 1971.

Penubuhan ZOPFAN

Terdapat beberapa faktor dan peristiwa penting yang telah berlaku di Asia Tenggara telah mendorong timbulnya konsep ZOPFAN ini. Antara faktor-faktornya ialah kedudukan Asia Tenggara yang agak strategik kepada kuasa-kuasa besar dalam konteks ketegangan politik Timur-Barat, pergolakan politik di Vietnam serta keputusan pengunduran tentera-tentera British dari Asia Tenggara dan Amerika dari Vietnam pada awal 70-an. Perkembangan-perkembangan tersebut telah menimbulkan kecurigaan di kalangan negara-negara ASEAN kerana ianya mungkin menjejaskan kestabilan serantau. Faktor kedua disebabkan peperangan-peperangan di Korea dan Vietnam telah menyakinkan ASEAN bahawa campurtangan dan sokongan tentera kuasa-kuasa besar dalam pertelingkahan negara-negara kecil Asia Tenggara sering menjejaskan kestabilan di rantau ini. Faktor terakhir ialah semangat ‘regionalisme’ masa itu telah menghasilkan pertubuhan kerjasama ekonomi serantau ASEAN yang dapat digunakan sebagai jentera untuk mencapai tujuan ZOPFAN.

Objektif ZOPFAN

Objektif ZOPFAN adalah untuk menjadikan Asia Tenggara satu kawasan yang aman, bebas dan berkacuali daripada pertelingkahan politik kuasa-kuasa besar Khususnya Amerika Syarikat, Rusia dan Republik Rakyat China. Bagi memastikan objektif penubuhan ZOPFAN beberapa strategi perlaksanaan telah dirancang. Antara strategi utama yang telah digubal dan dilaksanakan ialah mendapatkan persetujuan, pengiktirafan dan jaminan daripada kuasa-kuasa besar tentang objektif atau usaha menjadikan pengunduran tentera asing dari kawasan Asia Tenggara dalam jangka panjang dan menjadikan kawasan Asia Tenggara ini bebas daripada senjata nuklear.

Dapat dilihat di sini bahawa ZOPFAN tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa kesanggupan kuasa-kuasa besar untuk mengiktiraf dan menjamin ZOPFAN dan sokongan padu kesemua anggota negara-negara ASEAN. Walau bagaimanapun, usaha ASEAN mencari penyelesaian politik di Kampuchea berdasarkan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Deklarasi Persidangan Antarabangsa mengenai Kampuchea (1981) mencerminkan tekad ASEAN untuk terus berusaha mencapai konsep ZOPFAN.

Antartika

Yang Amat Behormat Perdana Menteri menimbulkan isu Antartika ketika berucap di sesi ke 37 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam bulan September 1982. Isu ini ditimbulkan sekali lagi dalam sidang kemuncak Negara-Negara Berkecuali dalam bulan Mac 1983 di mana Malaysia telah berjaya mendapatkan pengesahan dan sokongan negara-negara tersebut untuk menghendaki PBB membuat satu kajian menyeluruh mengenai Antartika dalam sesi ke 38 PBB. Lanjutan daripada desakan itu satu ketetapan telah diambil dalam sessi ke 38 PBB supaya Setiausaha Agong membuat satu kajian yang menyeluruh mengenai isu Antartika termasuk 'Antartika Treaty System' dan pengagihan sumber-sumber asli yang terdapat.

Dalam bulan November 1984 Malaysia berjaya mendapatkan ketetapan PBB untuk memasukkan isu pengagihan sumber-sumber asli Antartika dalam agenda PBB yang akan datang. Namun begitu, disebabkan bantahan daripada negara-negara 'Antartika Treaty System', terutamanya Amerika Syarikat dan Rusia, Malaysia telah tidak berjaya mendapat ketetapan untuk penubuhan Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menggantikan 'Antartika Treaty System' yang ada.

Malaysia mengganggap benua Antartika sebagai penting dari segi pengaruhnya terhadap 'ecology' dan alam keliling dan cuaca dunia. Di Antartika misalnya terdapat 90 peratus daripada air tawar dunia yang terdapat dalam bentuk air batu dan salji. Ia juga mengandungi potensi bekalan bahan-bahan makanan dan bahan-bahan mentah galian seperti besi, arang, uranium, pelambam, nikel, kobalt, zeng, tembaga, timah, emas, perak, platinum, kromium, minyak dan gas. Di Antartika juga terdapat haiwan dan tumbuhan yang jarang terdapat di tempat-tempat lain. Benua Antartika juga dianggap strategis dari segi perhubungan memandangkan kedudukannya yang dikelilingi oleh empat buah lautan. Berdasarkan kepada fakta-fakta tersebut, Malaysia menyeru supaya Benua Antartika dijadikan warisan bersama untuk faedah bersama (common heritage for the common benefit) bagi seluruh dunia.

Pada masa ini pengurusan mengenai hal ehwal Antartika dibuat oleh wakil-wakil negara-negara yang menjadi ahli Antartika Treaty (December 1959). Malaysia berpendapat sistem tersebut hanya menguntungkan segolongan kecil ahli-ahli Antartika Treaty System. Struktur keahlian yang bercorak dua tingkatan (two-tier) adalah tidak adil kerana keputusan hanya boleh dibuat oleh 16 buah negara, ahli asal perjanjian tersebut, sungguhpun 12 buah negara lagi adalah menjadi ahli bersama. Sebaliknya 12 buah negara-negara ini hanya dibenarkan membuat kajian tanpa mempunyai kuasa untuk mengundi atau membuat keputusan. Ini adalah bertentangan dengan matlamat asal perjanjian asal di mana Antartika sepatutnya diurus oleh satu rejim antarabangsa untuk faedah manusia seluruhnya. Lagipun, kedudukan dalam tahun 1959 semasa Antartika Treaty System diputuskan adalah jauh berbeza dengan kedudukan sekarang. PBB pula masa ini terdiri daripada 160 negara di mana kebanyakan daripada mereka adalah terdiri daripada negara-negara sedang membangun. Oleh itu, hak-hak dan aspirasi-aspirasi serta pandangan-pandangan mereka juga patut diberi pertimbangan dalam rejim antarabangsa Antartika.

Pengurusan mengenai Antartika yang berdasarkan sistem keistimewaan ini adalah tidak memuaskan. Negara-negara ahli asal telah mengadakan beberapa mesyuarat tertutup untuk penubuhan rejim bahan-bahan galian (minerals regime) untuk tujuan perlombongan bahan-bahan galian di kawasan-kawasan tertentu mereka. Negara-negara bukan ahli tidak di beritahu langsung tentang keputusan yang dicapai dalam mesyuarat mesyuarat tertutup ini. Dengan adanya Konvensyen Undang-Undang Laut Bangsa-Bangsa Bersatu (Sea-Bed Convention on the Law of the Sea) dan cadangan mendirikan satu Jawatankuasa Antarabangsa 'Sea-Bed' (International Sea-Bed Authority), maka rejim galian (Minerals Regime) yang dicadangkan oleh ahli-ahli perjanjian di Antartika adalah didapati bertentangan dengan kebanyakan negara-negara lain.

Pada pendapat Malaysia, rejim galian (Mineral regime) ini adalah satu lagi percubaan oleh ahli-ahli perjanjian untuk memperluaskan lagi kuasa mereka. Lagipun, aktiviti-aktiviti perlombongan bahan-bahaaan galian, jika tidak dikawal dengan rapi boleh dan kemungkinan merosakan sistem 'ecology' yang terdapat di situ, dan ini akan melibatkan dunia keseluruhannya. Matlamat-matlamat konsep warisan bersama yang disuarakan oleh Malaysia ialah, bahan-bahan mentah Antartika digunakan untuk faedah manusia bersama, ekologidan alam sekitar dipertahankan, kerjasama dan penyelarasan antarabangsa dalam kajian saintifik dan lain-lain serta Antartika digunakan untuk menggalakkan genjatan senjata, denuclearization dan demilitarization.

Selain daripada ahli-ahli 'Antartika Treaty Sistem', negara-negara yang lain telah memberi sokongan kepada pendirian Malaysia. Ini terbukti dengan kejayaan Malaysia memasukkan isu pengagihan bahan-bahan galian di Antartika dalam agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa yang akan datang pada tahun 1985. Pada pendapat ahli-ahli perjanjian, percubaan untuk menukarkan sistem yang telah diuruskan selama 24 tahun mungkin akan menimbulkan ketidak-stabilan di Antartika